Lelaki idamanku,

Tertegak Islam dalam dirinya,

Sejernih salju,

Hatinya dilingkari cinta Yang Satu,

Iman dan taqwa menjadi sepatu,

Dengan roh Islam dia melangkah maju,

Dahagakan pahala,

Hauskan Ilmu,

Gagah melawan nafsu,

Sholatnya dihayati penuh syahdu,

Kata-katanya benar tidak menipu.

Lelaki idamanku,

Teguh dalam shaf perjuangan,

Teman-temannya adalah,

Pecinta syariat Islam,

Yang menyampaikan ilmu di dada,

Buat umat yang kehausan,

Yang menginfakkan harta,

Untuk jalan jihad dan kebenaran.

Lelaki idamanku,

Adalah lelaki beriman,

Yang mengalir dalam

darahnya sifat kepimpinan,

Suka berbuat kebajikan,

Berbakti kepada ayah bundanya penuh kebaikan,

Dalam rumah tangga,

Dialah penjaga kerukunan,

Menghiasi jiwa ahlinya

dengan seagung-agung pegangan,

Mendidik anak dan isterinya

menghayati Islam,

Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,

Yang dunia baginya,

Rumah sementara menuju akhirat.

Lelaki idamanku,

Sentiasa bersedia menjadi imam,

Yang hidup di bawah naungan al-Quran,

Dengan petunjuk Rasulullah,

Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,

Yang menjaga matanya

daripada berbelanja,

Yang sujudnya penuh kesyukuran,

Dengan rahmat Allah ke atasnya.

Lelaki idamanku,

Tidak pernah membuang waktunya,

Matanya kepenatan

kerana membaca,

Suaranya lesu kerana penat

mengaji dan berzikir,

Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,

Bangun subuhnya penuh kecergasan,

Karena sehari lagi usianya

bertambah penuh kematangan.

Lelaki idamanku,

Sentiasa mengingat mati,

Yang baginya hidup adalah ladang di akhirat,

Yang mana buah kehidupan itu,

Perlu dibaja dan dijaga,

Agar berputik bertunas,

Bakal menjadi baka yang baik,

Meneruskan perjuangan Islam,

Sebelum hari kemudian.

Lelaki idamanku,

Adalah lelaki,

Yang tidak terpesona dangan buaian dunia,

Kerana dia mengimpikan syurga,

Di situlah rumah idamannya,

Dan dia ingin membawaku bersama.

Dialah,

Lelaki idamanku!

Dipetik Daripada : Dato’ Dr Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah, Hj. Muhammad Zakaria, Fatimah Syarha Noordin. Petua Membuat Orang Jatuh Cinta. Telaga Biru.
ISBN 983-42448-2-7